4.05.2016

(?)

Telah terlewatkah waktu untuk aku kembali (?)
Tika mutiara bertukar menjadi haba yang tak tentu panasnya
Aku keliru hingga musim sejuk berakhir.


Mensia-siakan rahmat menjadi pintu kesialan
Menukar aroma sejuk menjadi bau busuk
Hingga menjerat kakiku bertemu Tuhanku.

Yunnan,
Langit mu, tanah mu, bau mu...
Dibalas aku dengan kedurjanaan tak terkata

Udara mu, dan segala macam kesucian
di negeri mu itu...
akhirnya ku lemparkan najis ke atas wajahmu.


Hinannya aku,
Terlalu...
Hingga aku tidak sedar
Waktu telah membunuhku bertalu-talu
Dan sudah tentu telah terlalu lewat
untuk aku kembali sekali lagi.



.pemula.



4.04.2016

Maka pada suatu pagi hari ia ingin sekali menangis sambil berjalan tunduk sepanjang lorong itu. Ia ingin pagi itu hujan turun rintik-rintik dan lorong sepi agar ia bisa berjalan sendiri saja sambil menangis dan tak ada orang bertanya kenapa.

Ia tidak ingin menjerit-jerit berteriak-teriak mengamuk memecahkan cermin membakar tempat tidur. Ia hanya ingin menangis lirih saja sambil berjalan sendiri dalam hujan rintik-rintik di lorong sepi pada suatu pagi.” 
― Sapardi Djoko Damono

4.03.2016

Sia-sia.

Dalam luka yang cuba aku halau
cinta itu sebenarnya cuma luka
yang tidak menyampaikan aku kepada Dia
tidak menemukan jejakku pada syurga.


Cinta cuma luka-luka
yang menghiris hati para penanti
dalam harap palsu yang tidak akan selesai
Lalu cinta terbuang, hilang, dan sia-sia.



.pemula.

4.01.2016

April

1. Tuhan.

25 tahun. Usia ini masih mentah sebenarnya. Tetapi melalui usia ini, aku telah melalui pelbagai hal yang membuat aku lebih dewasa. Lebih memikirkan hal terkehadapan. Meskipun berat untuk aku akui bahawa dalam 25 tahun usia ini, barangkali lebih daripada separuh perjalanannya, adalah dilalui dengan tangisan yang kosong dan sia-sia, Lalu kumohon Tuhan, agar 25 tahun ini menjadi titik-usia untuk aku kembali menjadi manusia yang diperbuat daripada tanah, yang malu berbuat dosa dan takut dengan api neraka.

2. Pernikahan.
Ternyata ia bukan semudah mengucap mantera-mantera asing di lidah, bahkan ia adalah membina bahtera kemudian membawa bahtera itu meredah lautan badai sehingga selamat tiba di hujung destinasi (akhirat). Aku memilih penikahan bukan semata-mata untuk menyelamatkan diri aku daripada dosa, atau badai itu... tetapi aku begitu mengharapkan agar penikahan ini membawa aku kepada DIA. Ya, DIA-lah matlamat seseorang memperjuangkan sesuatu, termasuk perjuanganku ini.

3. April.
Semoga April yang baru menjelma dengan cahaya akan berakhir pula dengan bahagia. Semoga kuatlah seorang perempuan dalam penyatuan dirinya dengan seorang lelaki asing. Asing dengan jiwanya, asing dengan rentaknya. Tetapi dia yakin, tidaklah Allah menciptakan keterasingan dan perbezaan itu, melainkan untuk saling melengkapi dan dilengkapi.


4. Syurga.
Agar kita semua dipertemukan kembali di SANA. Perkahwinan ini cuma jambatan ke akhirat. Jika runtuh, maka jalanku ke akhirat juga sukar. Jika kukuh, maka ku harap akan bertemu Tuhan dan Nabi Muhammad nun di syurga.


.pemula.


3.07.2016

Penuntut.

Aku cuma penuntut lata
di madrasah jagat raya
yang ada waktunya terduga
tak mengerti akan banyak perkara.

Ada waktunya juga aku celaru
menanggung khilaf yang membisu
di manakah Tuhan, meja tulisku?
di mana pula pensel hitamku?


Aku cuma mahu belajar
di madrasah alam semesta
belajar menyedari juga mengakui
bahawa aku hanya manusia biasa.

Ada waktunya tak sabar
ada waktunya tak insaf
ada waktunya tak simpati
ada waktunya tak kenal diri,


Namun aku masih mahu belajar
meperbaiki kehinaan diri.



,pemula.


3.05.2016

Review buku Dari Gelap Menuju Terang



*genre
-buku inspirational / autobiografi / fact / true life journey / true story

*penulis
- Zulaikha Adam.
-graduan Akademi Pengajian Melayu dalam bidang linguistik melayu, Universiti Malaya.
-editor Telaga Biru.

*Halaman
- 157

* harga
-sm : rm18
-ss : rm20

*Terbitan
-Telaga Biru

# 1st impression tentang buku ini ialah cover yang menarik perhatian. Susun atur & gambar yang ada pada setiap muka surat juga tidak mengecewakan. Sangat mesra pembaca dan kemas dengan qoute2 menarik daripada ramai selebriti ilmu.

 #Ini antara satu kelebihan naskah terbitan telaga biru. Produk yang sangat menitikberatkan kualiti.  Tahniah Telaga Biru!

#Tambahan pula, aturan gambar autentik Faiq Adnan seakan-akan berbicara dengan pembaca. Lalu saling menjalin untuk menghidupkan buku ini. Sesuailah dengan genrenya- "karya berbentuk inspirasi" yang dibawakan penulis.

# berbalik kepada karya ini- naskah ini menceritakan tentang Faiq Adnan -seorang mahasiswa Akademi Pengajian Melayu-Universiti Malaya dalam mengenal potensi diri yang sebenar.

#Menariknya, penulis dan Faiq Adnan merupaka  rakan baik di Universiti.  Perkara ini memberi nilai tambah kepada penulis untuk mengupas subjek secara telus dan autentik. Menarik bukan?

Menelusuri perjalanan dan pencapaian subjek merupakan perkara yang sering kali memberi inspirasi kepada penulis. Lalu, terpanggil untuk berkongsi semangat kepada umum, Zulaikha Adam mula mengumpul data menyeluruh tentang kehidupan Faiq Adnan. Sangat memotivasikan dan penuh dengan emosi.

#corak penulisan oleh penulis muda, Zulaikha Adam juga amat mengujakan. Pengalaman menghantar karya cerpen dan puisi ke media sosial akhbar dan majalah online memberikan satu gaya penulisan yang simbolik baginya.- penulis dari hati.

Antara karya lain penulis yang tak rugi dibaca ialah cerpen siaran Berita Harian- Wanita dari Sampoerna.  Sangat menarik!

#Gaya bahasa yang teliti dan bernada puitis memberi pengalaman pembacaan yang beremosi.  Apa yang boleh dikatakan-penulisan yang baik melalui pemerhatian yang baik.

#Ditebak mengenai inspirasi menyiapkan naskah ini, penulis cilik yang ramah itu tanpa berselindung membuka cerita tentang adiknya. Dipanggil "Abang" dan juga merupakan anak istimewa merupakan pengikat kasih sayang dan ketabahan mereka sekeluarga.

#Faiq Adnan pula bukanlah calang2 mahasiswa. Biar cacat penglihatan, dia aktif menyertai pelbagai aktiviti dalam dan luar negara. Antaranya mewakili Malaysia dalam sukan Paralimpik untuk sukan bola sepak.  Antara yang paling diingati ialah kejayaan merentasi Selat Melaka dan namanya diabadikan dalam Malaysia Book of Records.

#Ternyata Faiq Adnan kekurangan, namun ianya bukanlah penghalang untuk dia berjaya! Sangat memotivasikan.

#Buta- tapi wakil Malaysia bermain bola sepak
#Buta -tetapi merenangi selat Melaka.
#Buta -tapi wakil negeri untuk Tilawah Al-Quran
#Buta- tapi sebagai Presiden untuk Permium Universiti Malaya.
#Buta - tapi pelajar yang dedikasi.
#Buta -tapi aktif bernyanyi.
#Buta- tapi berjaya!!!

"Yang diciptakan Allah itu tiada yang sia-sia" :)
Life is amazing !!! Have faith.

12.21.2015

muqayyam seorang al-fateh





Mukayyam!!!

Genderang suara itu sahut-menyahut.  Mereka sudah bersedia menakluki perbatasan dan gunung-ganang yang mana pun saat itu.  Sumbu hati mereka telah bernyala api perjuangan.  Mereka mahu menjelma sebagai khalid Al-Walid dan Hamzah di kala itu agar dapat memacu genderang memecah belahkan musuh dan halangan.  Hidup dan mati soal kedua.  Yang dipasak ke depan adalah “kemenangan”.  Kemenangan dan perjuangan habis-habisan.

Ayuh, kita mara ke jabal Uhud!

Sekali lagi derapan langkah bergentayang ke lurah dan selak rimbun. Seisi kaki bukit itu seakan mendepakan dada melalukan mereka ke puncak yang dimaksudkan.  Arahan keluar desus-mendesus dari atas pelana kuda.  Panglima perang tajam mengawasi arakan soldadu.  Soldadu hanya bersenjata parang dan ilang panjang.  Ada juga yang membawa belati dan panah.  Dari penjuru belakang derekan mereka, ada ketua panglima hitam yang tersenyum megah atas ketersediaan kesemua bucu islah perang yang dipimpin untuk berjuang.  Perjuangan kali ini bukan perjuangan menumpahkan darah, namun perjuangan mentarbiah akal dan hati.

Semak yang tadi tebal menyelimuti pandang kini sudah rebah mendakap bumi.  Bau hijau pohon dan dahanan yang ditebang mengaromakan seluruh kawanan lapang.  Mereka telah berjaya menawani sebahagian jabal Uhud.  Kelihatan calar balar menggaris di lengan dan betis para anak perang.  Mereka kini bertinggung duduk di atas batuan kecil dan tanah hampar untuk menyeka peluh sebelum memulakan pendakian fasa kedua.  Pasak bumi itu memang dipanggil jabal atau bukit, namun sebenarnya ia adalah gunung pada lurah curam dan rabung yang menceracak di sekitarnya.
“Petang nanti sebelum petang, insyaAllah kita akan sampai ke puncak!”
Kedengaran panglima perang menjaharkan suara memberitakan perjalanan ekspedisi mukayyam dengan penuh yakin dan amanah.

“Saya Yazid, panglima kedua mukayyam selesai menyampaikan amanah. Takbir!”

Para soladu menyambut laungan keramat itu semegah garuda di langit terbuka.

“Allahuakbar!”

***

Takbir pertama di jabal uhud fajar senja itu meruntun hati sesiapa jua yang mendengarnya.  Bukit tebal yang tak dihuni manusia dan jarang dilintasi musafir diislah dengan laungan azan yang memilukan. Entah kenapa, hati pejuang mereka yang gagah tunduk menangisi semboyan  buat Sang Penciptanya.  Terasa diri kerdil sekali berada di jabal itu.  Jatuh bangun matahari dan layar lalu langit yang bergerak perlahan di dada angkasa membuatkan mereka berkira-kira untuk mentafsirkan betapa Tuhan itu Maha Besar dan Maha Menciptakan.  Kibaran lembut sayap-sayap garuda kecil mampir pulang seakan turut bersaksi pengabdian manusia kepada Al-Khalid.


“Saff.”

: bersambung

p/s : jaga diri