5.16.2014

Kedap Cinta dalam Cawan Kawan.

Aku berjumpa dengan dua manusia malam ini. Seorang terjelupuk dalam bekas cinta, kemudian terkedap lama menjadi basi. Kulat dan kuman telah berjaya menjadi racun pada cinta yang tersimpan dalam bekas kedap tadi. Warna hijau fungi seakan menjadi penyeri dalam bekas yang tidak punya apa-apa rasa, melainkan cinta. Bekas kedap dengan sikap nyah-udara dan nyah-rasa, tapi punya cinta. Jadi bagaimana? Perhitungan hati mula dibuat. Punya cinta tapi tak punya rasa. Ingin merasa cinta tapi tak ingin merasa kecewa. Jadi, silakan saja kulat dan kuman itu merebak girang tanpa kau tahu kau sebenarnya telah kehilangan rasa. Ketawa kau? Boneka. Malu kau? Palsu. Cuma kau jujur perlu tahu, cinta kau yang terkedap itu sebenarnya sedang galak dimamah gembira palsu. Terlalu lama kau mengedap, sehingga akhirnya kau hampir tak merasa. Kerana cinta itu hampir ditelan kebinasaan. Rosak! Rasa, bau, warna dan segalanya. Habis semuanya, dimamah kulat dan kuman.


Seorang lagi sedang merasa kecewa bukan kepalang. Kawan? Matinya hidupnya. Dalam cawan kawan, dia berhibur, ketawa dan saling percaya. Namun cawan itu makin retak. Makin terukir sumbingnya di hujung-hujung bibir. Sedang dulu kawan itu jugalah yang menjadi tangkai pada cawan tersebut. Tapi kini, tangkainya juga telah tanggal. Makin cacat! Lalu dia berjalan mundar-mandir. Dari dapur ke ruang tamu dan dari ruang tamu ke dapur. Memerhati cawan yang semakin cacat sifatnya dan membuat perhitungan matematik. Mana lebih untung? Terus memelihara cawan itu dengan membalutnya kemudian meletakkannya pegun dalam almari kaca. Atau membungkusnya di dalam plastik hitam, kemudian bila terdengar hon lori sampah, bergegaslah untuk menghumbannya. Adil? Keputusan benar di  tangan kau. Gunalah apa saja cara, hatta dengan menggunakan mesin kira-kira budak akauntan untuk kau hitung, selayaknya bagaimana untuk mengatasi kesulitan ini.


Kedap cinta dalam cawan kawan.

Kerap, hati diperjudi sekian rasa dan manusia. Tapi senyum kelat dan tawa palsu itu selalu berjaya jadi topeng palsu yang menipu bola-bola mata yang tidak memahami erti rasa. Kau, dengan cintamu. Dan kau, dengan kawanmu. Habis mengapa kalian masih tidak mampu berbagi rasa dengan sempurna? Kerana cinta yang cuma kau perap-kedap itu semakin hilang rasa. Dan kerana teman-kawan yang kau percaya itu seretak cawan.



.pemula.


No comments:

Post a Comment