1. Tuhan.
25 tahun. Usia ini masih mentah sebenarnya. Tetapi melalui usia ini, aku telah melalui pelbagai hal yang membuat aku lebih dewasa. Lebih memikirkan hal terkehadapan. Meskipun berat untuk aku akui bahawa dalam 25 tahun usia ini, barangkali lebih daripada separuh perjalanannya, adalah dilalui dengan tangisan yang kosong dan sia-sia, Lalu kumohon Tuhan, agar 25 tahun ini menjadi titik-usia untuk aku kembali menjadi manusia yang diperbuat daripada tanah, yang malu berbuat dosa dan takut dengan api neraka.
2. Pernikahan.
Ternyata ia bukan semudah mengucap mantera-mantera asing di lidah, bahkan ia adalah membina bahtera kemudian membawa bahtera itu meredah lautan badai sehingga selamat tiba di hujung destinasi (akhirat). Aku memilih penikahan bukan semata-mata untuk menyelamatkan diri aku daripada dosa, atau badai itu... tetapi aku begitu mengharapkan agar penikahan ini membawa aku kepada DIA. Ya, DIA-lah matlamat seseorang memperjuangkan sesuatu, termasuk perjuanganku ini.
3. April.
Semoga April yang baru menjelma dengan cahaya akan berakhir pula dengan bahagia. Semoga kuatlah seorang perempuan dalam penyatuan dirinya dengan seorang lelaki asing. Asing dengan jiwanya, asing dengan rentaknya. Tetapi dia yakin, tidaklah Allah menciptakan keterasingan dan perbezaan itu, melainkan untuk saling melengkapi dan dilengkapi.
4. Syurga.
Agar kita semua dipertemukan kembali di SANA. Perkahwinan ini cuma jambatan ke akhirat. Jika runtuh, maka jalanku ke akhirat juga sukar. Jika kukuh, maka ku harap akan bertemu Tuhan dan Nabi Muhammad nun di syurga.
.pemula.
Assalamualaikum. Saya Tuna Netra (Bukan nama sebenar). Ananda kepada LunaBiru. Saya amat mengkagumi karya yang dipersembah oleh kakak. Karya yang ketiga saya kagumi selepas Atok dan Ibunda saya. Saya ingin berterima kasih di atas sajian yang dihidangkan kepada saya...
ReplyDeleteSalam Tuna Netra buat kakak