Kalau selalu orang menakrifkan miskin sebagai kesakitan dan kepedihan rasa, biar aku takrifkan miskin sebagai Sang Rerama pujaan yang bebas berterbangan melintasi awan!
Kawan, miskin itu Sang Rerama; rupanya.
Rerama atau Rama-Rama adalah objek yang membebaskan manusia. Rerama yang aku kenal bersifat kecil, comel, berwarna girang dan bertebangan melata alam, tanpa takut akan panas, hujan ataupun guruh gempita. Rerama cuma binatang kecil, tapi mampu menyeberangi alam: Menyeberangi padang, menyeberangi sungai, dan menyeberangi taman-taman permainan Si Anak pada waktu petang. Oh, kagumnya aku pada Sang Rerama yang genit tetapi punya sayap empat yang membebaskan ia dari 'merempat' cuma di satu-satu tempat. Kau ingin ke mana Rerama? Silakan. Ampuhkan sayapmu!
Tapi bagaimana? Ingin ku balikkan takrif miskin itu menjadi bebas sebebas Rerama?
Pagi ini jari-jemari ku gatal untuk mencari erti miskin, lalu ku 'google' sesedap rasa. Miskin membawa erti yang sangat hina, bagiku. Boleh pula ditukar ganti atau bersinonim maknanya dengan perkataan-perkataan 'papa', 'fakir', 'daif', 'kais pagi makan pagi' atau yang menjengkelkan: 'makan dawai', atau yang paling menghinakan: 'bangsat'. Allah... Aku pasti, kalau orang miskin mendengar takrifan sebegini, mereka akan menangis bercucuran air mata tidak henti. Bukan kerana sedihnya hidup dalam kemiskinan, tapi kerana sedihnya apabila manusia di luar sana dengan bersenang-lenang menakrifkan diri mereka sehina itu; bangsat? Mahu apa lagi? Kemiskinan memang ternyata hina, kawan.
Bangsat bagiku perkataan kesat, lebih kesat dari kemiskinan sebenar.
Mari aku ceritakan fasal kemiskinan. Bagaimana miskin boleh jadi Sang Rerama? Hmmm. Entri ini boleh jadi ku tulis selepas beberapa kali terkesan dan tergugur air mata oleh penulisan Bang Andrea, 'boi' kesayanganku, mengenai kemiskinan hidupnya dan keluarganya. Bagaimana miskin telah memperjudikan nasibnya dan anak-anak muda daerah Pedalaman Belitong itu tanpa sempat mereka mempertaruhkan apa-apa wang, kerana mereka juga tidak mempunyai bahkan sekeping wang. Jadi, mereka hanya redha apabila menjadi mangsa perjudian dari satu generasi ke satu generasi yang lainnya.
Jujur, aku juga terkena tempias miskin, dalam kisah pelayaran hidupku sementah ini. Tapi, sejak dari azali, aku tidak suka dengan perkataan miskin itu. Sama seperti si miskin yang lain, perkataan itu cukup hina sebenarnya. Kecuali dituturkan oleh orang kaya-raya yang tidak mengenal erti ihsan.
Miskin itu sempurna sebenarnya, kerana ia adalah sifat yang diciptakan oleh Tuhan secara sengaja, dengan tidak ada lain tujuan, kecuali engkau patuh atau derhaka pada-Nya. Dan aku? Memilih untuk menjadi Sang Rerama yang bebas mencaturkan makan-pakaiku. Mencaturkan wang sakuku, belanjaku, bil-bil pelajaranku, dan segala-segalanya atas kehendak diriku semata-mata. Maaf ku kata, dalam hal ini, aku sering menyisihkan orang tuaku, kerana aku tahu, poket mereka juga selalu berdebu; seperti aku. Mungkin aku lebih dahsyat, berdebu karat. Namun ajaibnya, miskin ini buat aku menjadi raja dalam tidak sedar. Aku menguruskan harta yang sebesar biji kelapa ini semahuku, tanpa perlu bertanyakan kepada sesiapapun, apa yang aku perlu buat dengan kepingan syiling lima puluh sen ini. Menabung di masjid? atau membeli gula-gula getah? Itu semua tertakluk atas budi pekertiku. Bukankah aku Sang Raja? Hehe.
Ternyata, miskin itu buat ku bebas seperti Sang Rerama.
Kerana aku bebas mencari nilai hidup sendiri. Saat pundak sakit dan perut dirembes asid gastrik,dan melihat poket saku yang berbaki kosong, aku tahu kejap lagi Tuhan akan hulurkan rezki dari mana-mana pintu dunia. Yang pasti, Dia tidak akan biarkan aku mati kelaparan.
Miskin itu ajaib, dan Tuhan itu... Maha Ajaib.
Selalu Habib memesan padaku untuk memberi dan bukan meminta. Aku kongsikan kisah biasa tapi ajaib ini. Pada suatu pagi, aku pergi ke perpustakaan utama, dan dari jauh aku melihat ada teman sekuliahku yang asyik melayani tugasan saat akhir, lantas aku terdetik untuk menghulurkan barang seketul dua biskut coklat, yang mana biskut itupun aku dapat percuma hasil memenangi lomba puisi. Aku hulurkan sambil senyum-senyum nampak gigi. Biskut itu jelas bersaiz kecil, bulat dan seketul. Aku memberikannya dua ketul, kemudian kembali semula ke tempat dudukku sambil terngiang-ngiang di benakku akan pesan Habib:
"Allah tidak akan mengurangi sedikitmu daripada pemberianmu, malah akan menambahinya."
Petang itu, usai mengajar kelas tambahan, ibu kepada anak didikku menghadiahkan aku satu tin biskut Jacobs buat alas perut dan peneman studiku, dan saat menulis ini pun, aku masih sempat mengunyah kerangupan isi tin biskut kuning ini.
Apa yang ajaibnya? Dua ketul biskut kecil yang ku berikan tadi, digantikan Tuhan dengan satu tin biskut yang mampu bertahan berbulan lamanya. Itu ajaib, bukan? Jelas, tiada apa yang dusta tentang apa yang diperkatakan DIA :)
Lalu, miskin itu menjadikan aku bebas. Mengumpul keping-keping kertas untuk aku mendapatkan keperluan dan kehendak, walau kadang aku rasakan miskin ini berpuaka, dan wang itu berhantu. Tidak pernah puas dan selalu minta lagi... dan lagi....
Lapar itu biasa, menyekat nafsu untuk pelbagai perkara juga biasa. Tapi jujur, sebenarnya aku tidak layak untuk menerima tittle miskin itu, kerana miskin menurutku, adalah mereka yang seperti diceritakan Andrea di daearah Pedalaman Belitong, yang atap-atap rumah mereka cuma dari daun. Ataupun miskin menurutku, mereka yang tersiar muka dalam rancangan 'Bersamamu TV3', yang menangis teresak-esak kerana sakitnya hidup dalam kemiskinan hingga siput babi dijadikan makanan harian, menggantikan ikan dan daging segar. Allah... Itu benar-benar miskin yang menyeksakan pada pandangaku. Dan jika diukur dengan nasibku? Aku ternyata jauh lebih senang. Miskin elit, mungkin.
Namun, di balik cerita miskin dan Sang Rerama ini, cuma ada satu cerita yang kekal terpahat dalam benakku. Saat kematian abang kandungku, yang bermandi darah dalam sepasang kasut sekolah baru berjenama Spako. Dan kawan, aku benar ingin menulis tentang kesakitan kisah itu. Dan bagaimana ayahku yang menangis berbulan lamanya untuk merelakan darah yang tumpah atas kasut sekolah baru itu. Buat abangku, al-Fatihah dan semoga kau berbahagia di Sana.
Aku tidak menyatakan miskin itu telah meragutmu, malahan ternyata bukan? Sekarang kau sedang jadi Sang Rerama yang bebas di Syurga?
Aku yakin, kerana orang tua kita selalu memberitahu, bahawa kau anak yang tersoleh. Soleh, pantasnya di Syurga bukan? Aku yakin. In sha Allah kau sedang bergembira di Sana.
Dan untuk segala kemiskinan, ternyata tidak ada apa-apa pun sebenarnya. Miskin hanya permainan dunia, yang gigih akan juara, yang malas akan tumpas. Miskin menjadikan hidup manusia seperti jongkang-jongkit, kejap di atas, kejap di bawah. Dan Sang Rerama, yang melihat dari jauh, hanya tersenyum bangga kerana punya sayap empat yang berwarna gemilang!
.pemula.
Selalunya lepas baca andrea mesti tulisan dan pikiran jd mirip dia. Bang andrea!
ReplyDelete