10.29.2015

           Cuaca panas.  Udara seakan tak bergerak, pegap.  Dan hari itu adalah hari yang merubah sebahagian besar dirinya sekarang.  Hati.  Dia belajar menjadi ikhlas pada hari itu.  Ikhlas berbuat baik dan belajar berbuat baik. Ada sebuah hadis yang mengatakan bahawa seseorang yang bersedekah secara sembunyi itu lebih disukai Allah dan bala turut gugur kerana perlakuan mulia tersebut.  Tapi bagaimana nak diterjemahkan dengan suasana bermasyarakat yang hektik dan sukar sekarang?  Orang kaya yang bersedekah langsung diuar-uarkan di media?  Tidak ikhlaskah dia?

         Satu lagi kata-kata fukahak yang mengatakan bahawa disaat seorang itu merasakan dia tidak riak, maka disaat itulah hatinya mula riak? Metafora.  Kalaulah ada penerangan yang lebih mudah untuk dicerahkan.
Langsung dari saat itu, seorang imam di masjid tidak lagi solat sunat isyak di masjid tetapi di rumah.  Atas alasan apa? Atas alasan untuk mengelakkan riak.  Justeru itu dia melakukannya di rumah.  Tetapi berlainan pula dengan bilal.  Dia solat sunat isyak di masjid untuk membudayakan solat sunat itu kepaa Jemaah.  Langsung, iman siapa yang lebih baik? 

          Itulah masalah manusia sekarang, lebih suka menghitung ikhlas dari merasai ikhlas.
Itulah dia yang dahulu.  Tidak akan bersedekah kepada pengemis atau pak cik jual tisu di jalanan atas alasan tidak mahu menunjukkan kebaikan kepada khalayak umum.  Tapi, kesempatan baik tidak selalunya ada.  Terkadang dia lalu di hadapan mereka-mereka yang berkenaan untuk melakukan “kebaikan”.  Tetapi atas alasan untuk mengejar yang lebih afhal iaitu “bersedekah tanpa diketahui tangan kiri”, dia pun berlalu tanpa sepatah kata, sehulur rasa. 

      “lalu awal di jalan ini esok pagi, jadi tak ramai orang”.-dia

Esoknya dengan tekad ingin melakukan kebaikan tersembunyi, dia pun berjalan dengan penuh tertib dan senyuman kerana mampu mencapai yang lebih mulia. Namun, hampa, seorang tua itu tak lagi ada di situ. Tempat yang sama kosong pada hari itu turut kosong pada hari esok. Begitu juga dengan lusa dan bulan berikutnya.  Orang tua itu ke mana?

       Dan berbalik dengan kisah masjid jamek.  Hari yang panas dan orang yang sesak.  Suasana yang biasa untuk hari minggu di ibu kota.  Dan di waktu itulah muncul seorang anak muda.  Wajahnya iras anak muda seberang- Indonesia.  Dia dengan wajah dan pergerakan yang bersahaja mendekati pengemis dan penjual tisu di kaki tangga lrt lalu bercakap-cakapan dengan mereka sebentar.  Kemudian, dia langsung menuju ke gerai air dan membelikan air kotak kepada kesemua mereka yang ada di situ.  Ramai mata yang memerhatikan dia saat itu.  Antara mereka itu adalah “dia”. 

            Dunia seakan terhenti dari berputar.  Satu pancaindera manusia “dia” mula terbuka dengan jelas. Terbuka dengan lebih luas dengan firasat yang berbeza.  Semudah itu rupanya nak berbuat baik.  Tidak ada hitungan bila untuk waktu yang tepat, tiada hitungan berapa untuk nilai yang dihulur, tiada kira-kira sama ada manusia lain memandang dengan sinis atau dengan pujian dan yang paling penting : tiada mizan paling afhal dalam berbuat baik kepada manusia. Cuma lakukan!

         Modalnya Cuma “ikhlas” dan balasannya ialah sepohon pokok yang bercabang tujuh, lalu setiap cabang mencambahkan 100 dahan yang lain, yang mana dahan-dahan itu membuahkan 100 buah setiapnya, dan benihnya akan gugur pada masa yang ditentukan.  Benih yang baik ini pula akan terus tumbuh menjadi pohon rendang dan kitaran terus berulang.  Tumbuh baik membawa manfaat buat yang lain. Begitulah Tuhan memberikan balasan kebaikan yang tiada hitungnya buat manusia.

             Dengan senyum, “dia” mencuri pandang.  Lalu  beriktizam di dalam hati, “dia” ingin seperti ini suatu hari nanti!-dia



No comments:

Post a Comment