"Pakai lah seluar yang longgar sikit. Tu tudung, labuhkan depan dia bagi tutup dada kamu. Baju tu, labuhkan sikit. Ketat sangat,"
Aku hanya diam. Barangkali diam tandanya aku beradab, tetapi bila fikir-fikir semula, diam itulah tandanya aku biadab.
Biadab, bukan hanya dengan mak. Tapi dengan Tuhan, dan dengan Nabi Muhammad. Biadab kerana aku tidak memelihara kehormatan yang Allah swt telah beri pada tiap-tiap wanita. Dan biadab kerana aku mencalar ketertinggian adab dan susila serta kehormatan wanita yang telah diperjuangkan oleh Baginda Muhammad saw sewaktu baginda membebaskan tanah Arab terdahulu daripada belenggu jahiliah.
Tidakkah Islam itu memerdekakan wanita? Mengangkat darjat wanita?
Ternyata aku seakan menghina kebebasan itu dengan sikapku yang tidak mahu menjaga aurat dengan baik.
Selepas beberapa waktu, aku mulai sedar. Saat fikiran ku kian matang. Aku mulai sedar. Betapa biadapnya aku saat setiap kali emak menyuruh aku berpakaian dengan baik, lantas aku hanya membalas dengan diam. Walaupun aku tidak melawan, tetapi aku tetap keluar rumah dengan keadaan yang tidak diredhai emak. Allahu... berdosanya aku.
Dan, paling biadab. Aku boleh berasa bangga dengan pakaian sebegitu. Sungguh jelek pabila aku rasa seronok apabila orang boleh lihat lenganku, bahagian dadaku yang tidak bertutup, juga bahagian-bahagian yang lain. Aku boleh bersahaja, boleh terbang dengan sebegitu bebas tanpa rasa malu. Ah, barangkali burung yang malu melihat aku.
Selepas beberapa waktu, aku mulai sedar. Saat fikiran ku kian matang. Aku mulai sedar. Bahawa betapa selama ini rupanya aku menjadi anak derhaka dalam tak sedar. Barangkali orang-orang menganggap dosa tidak menutup aurat adalah dosa perempuan itu semata-mata (kerana ia telah baligh dan sempurna akal) untuk menentukan dosa dan pahala. Tetapi sebenarnya, tidak menutup aurat juga adalah merupakan kederhakaan terhadap kedua ibu bapa kita. Menderhaka yang tidak keluar dari bibir, tapi mengesankan di akhirat nanti.
Aku telah menderhaka, pada emak, pada Nabi Muhammad dan pada Tuhan (Allah yang Esa).
Dan selepas beberapa waktu, aku mulai sedar. Saat fikiran ku kian matang. Aku mulai sedar. Bahawa menutup aurat dengan sempurna itu bukan tandanya aku hanya sayangkan diri aku, tetapi sayangkan emak, sayangkan Nabi dan sayangkan Tuhan.
Kini, aku cuba (sebagaimana setiap perempuan-perempuan yang lain keras mencuba) untuk menjaga auratku dengan baik. Kaki, lengan, dan dada; yang terkadang sudah menjadi kebiasaan untuk dilihat di mana-mana. Barangkali orang lelaki juga sudah tidak ghairah akibat melatanya hal itu di sekeliling mereka. Benda-benda yang berlambak, biasanya memang tidak mengundang giur lagi.
Kini, aku cuba sedaya-upaya. Setiap kali menyarungkan baju untuk dipakai, aku cuba membayangkan wajah emak.
"Cukup-cukuplah emak menangis di dunia ini. Aku tidak sanggup lagi emak menangis di akhirat nanti,"
.pemula.
No comments:
Post a Comment